Wednesday, December 30, 2009

Program JAMA'IY "Penghayatan Islam Kaffah"..

Kami akan mengadakan program bersama:

Tempat: Masjid Ibnu Salam, Pengkalan Pegoh, Ipoh

Jam: 8.15 malam

Tarikh: 31 Dis 2009

Semua dijemput hadir..!!

BERTEMU KOMUNITI KELUARGA MANGSA TATBAI DI NARATHIWAT..

BERTEMU KOMUNITI KELUARGA MANGSA TAKBAI DI NARATHIWAT..


Foto:Antara hadirin komuniti mangsa Takbai 2004.



Sdr Marzuki adalah salah seorang mangsa peristiwa Takbai 2004 yang putus kaki kanannya dan cacat kekal. Hampir seluruh tubuhnya ada tanda penyeksaan yang diluar kemanusiaan. Semoga Allah memberi beliau kesabaran...!!
26 Dis



Foto: Ust Tarmizi e-relawan, Anuardi Amal Foundation dan Zan bersama Marzuki.

Alhamdulillah, selepas subuh. sarapan nasi air di depan masjid Yala Centre, berangkat menuju ke Narathiwat bertemu komuniti keluarga mangsa Tatbai 2004. sempat memberi ucapan sokongan kpd mereka. ada yg sangat memilukan ialah melihat seorang anak muda kudung kaki dan cacat kekal setelah diseksa oleh regim zalim Thai. Terlalu ramai yg derita. Ya Allah kesihanilah mereka ini!!!


Bertemu langsung dgn anak, adik dan abang, isteri, mangsa..seperti membuka lembaran baru dalam hidup ini. Ada lagi regim yg sezalim firaun dlm dekad ini. Air mata tetap bukan solusi cuma meredakan emosi..Jam 2 balik ke Yala. Jam 6 talimat relawan sampai malam.

Friday, December 25, 2009

JAULAH e-relawan ke Selatan THAI

FRIDAY, DECEMBER 25, 2009

JAULAH e-relawan ke Selatan THAI









IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.


25 Dis


Alhamdulillah, baru tiba di Yala Thailand. Dari Bkt Kayu Hitam ke Yala mengambil masa selama 5 jam. Perjalnan yang gelap dan membimbangkan kerana di tempat gelap tiba-tiba muncul kereta perisai. Saya, Ust tarmizi (Tim. SU MAPIM), Anuardi (SU Y Amal Malaysia) dan Ust Zan (SU DPPK Sik) bersyukur kerana kami selamat sampai.


Dari relawan masjid YALA Centre dan HAP kami dinfokan YALA masih panas dengan isu penembakan. Info terbaru malam ini syahid seorang imam masjid di Narathiwat. Mohon doa dari teman FB agar kami dpt selesaikan misi melawat mangsa pembunuhan di sini.Sila sebarkan kepada teman yang lain akan kemelut umat di sini!! Allahuakbar...!!.


Berehat sebentar di pejabat HAP YALA sehingga subuh esuk...akan disambung lagi...!!

Thursday, December 24, 2009

MENGHIMPUN SEJUTA TANDA TANGAN ANTI RASUAH, JENAYAH DAN PORNOGRAFI

MENGHIMPUN SEJUTA TANDA TANGAN ANTI RASUAH, JENAYAH DAN PORNOGRAFI



Muafakat Pertubuhan

Islam Perak)

33A, Akademi Pertubuhan

Islam Perak, Jalan

Ampang Baru 6A, 31400

Ampang, Ipoh, Perak.
KAMI RELAWAN JAMA’IY INTERNATIONAL DAN BERSAMA SELURUH RAKYAT MALAYSIA
MENGHIMPUN SEJUTA TANDANGAN ANTI RASUAH, JENAYAH DAN PORNOGRAFI YANG
AKAN DISERAHKAN KEPADA PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN MENTERI-MENTERI DI JABATAN BERKENAAN SEMPENA KEMPEN ISLAM KAFFAH DI SELURUH MALAYSIA.
NAMA

NO KAD PENGENALAN
TANDA TANGAN




















































Taklimat e-relawan di Kem Remaja ..Kaki Bukit Maxwell. Taiping


Taklimat e-relawan di Kem Remaja ..Kaki Bukit Maxwell. Taiping



IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.



24 Dis

Pada 23 Dis, bersama sahabat lama dan bertemu dengan adik-adik di kem remaja memberi inspirasi dan mengembalikan nostalgia masa lalu ketika berada di sekolah menengah kem-kem seperti inilah yang akhirnya membentuk aktivis dakwah di seluruh Malaysia.

Alhamdulillah selepas maghrib saya sempat menyampaikan taklimat tentang e-relawan di bawah tajuk "Kemelut Umat Islam di seluruh dunia dan solusinya.."





Sunday, December 20, 2009

Persidangan MAPIM..di Pendang..

Friday, December 18, 2009

PERSIDANGAN MAPIM KALI KETIGA...

IKRAR: (Ikatan Kebajikan Rakyat). Badan bebas dan non partisan. Fokus kepada nasib dan kebajikan rakyat.


19 DIS

Pembentangan dan ucapan yang penting semasa MAjlis perundingan pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia.


Mempersiapkan Umat Mendepani Cabaran dan Mengembalikan Kegemilangan
Mohd Azmi Abdul Hamid
Pengerusi Sekretariat MAPIM
PERNYATAAN GAGASAN
MAPIM 2009
2 Muharram 1431H/19 hb Disember 2009
Pendang lake Resort , Kedah

“Sesungguhnya Solatku , Ibadatku , Hidupku dan Matiku
adalah semata-mata untuk Allah rabul ‘Alamin”
Ahlan wasahlan wa marhaban bikum kepada semua delegasi pertubuhan-pertubuhan Islam yang telah dapat menghadirkan diri di Persidangan Majlis Perundingan Pertubuhan-pertubuhan Islam Malaysia , MAPIM , untuk kali ke Dua . Kita dengan bangganya menyatakan bahawa ini adalah suatu sejarah besar buat umat di negara ini ketika buat kali keduanya kita telah mengupayakan diri untuk berkumpul dalam suatu persidangan antara warga pelbagai organisasi Islam dalam jaringan keluarga besar MAPIM . Moga-moga Allah menerima pertemuan kita dengan kesedaran kita semua berjanji memegang tali Allah dan kita tidak akan saling tafarruq .
Walaupun MAPIM masih setahun jagung dari segi kehadirannya namun secara semangat dan iltizam kita , wadah ini sudah lama bersemai dan tumbuh dalam sanubari para aktivis Islam yang mahu merealisasikan hasrat li ‘ila likalimatillah.

Setiap aktivis Islam harus faham bahawa tidak ada yang dapat memastikan kelancaran mengembalikan umat kepada kegemilangan melainkan setiap gerakan Islam mengambil sikap memahami sejarah yang lalu , mengetahui dengan penuh prihatin realiti masa sekarang dan menyiapkan umat untuk masa mendatang.
Tanpa memahami apa yang telah berlalu dan kenapa ia berlaku serta apakah akibat dari sejarah yang telah berlalu, sebuah gerakan Islam tidak mungkin dapat mengesan dimana kelemahan , apakah kesilapan umat yang terdahulu. Juga kita semestinya mengambil dari sejarah , rumusan dan ibrah yang dapat dipelajari antara kekuatan dan kerapuhan umat pada zaman sebelum kita sehingga kita boleh mengenali sempadan dan dapat menambah kebijaksanaan.
Demikian sebuah gerakan Islam juga tidak boleh menyepi dari mengetahui hal ehwal apa yang sedang berlaku masa sekarang. Dengannya kita dapat memeta tindakan sesuai dengan kondisi umat yang sedia ada sekarang disamping boleh memeta apakah yang harus menjadi keutamaan untuk melakukan islah dan taghyir bagi memperbetulkan kepincangan semasa. Begitu juga ehwal semasa umat perlu digarap dengan penuh kesedaran yang kritikal bagi memastikan realiti yang ada dapat diubah kearah yang lebih baik dan memulihkan apa yang telah tersasar.
Seterusnya kita harus sedar betapa kita perlu punya rangkakerja untuk mempersiapkan umat bagi melanjutkan kehidupan masa mendatang . Ini juga sangat kritikal . Tanpa perancangan yang jitu guna untuk memeter strategi , umat akan lempuh kerana tidak bersiap untuk berdepan cabaran mendatang.
Demikian kami merumuskan betapa kita perlu mempunyai keupayaan yang maksimal ketika ingin menjadi jurutera dan arkitek umat. Bahawa sesungguhnya umat akan terus berhadapan dengan keadaan yang melemahkan jika gerakan Islam lengah dalam menjalankan fungsinya dengan sempurna.
Wadah-wadah Islam perlu beranjak dari terlalu banyak beretorika dan menumpukan keupayaannya kearah aksi-aksi nyata yang boleh merubah kondisi umat. Sudah sampai masanya sebuah strategi sinergi yang pintar dapat direalisasikan sehingga gerakan Islam mampu menjadi third force untuk menangani pelbagai isu umat.
Akan rugilah umat jika gerakan Islam tidak mampu menerajui dan memimpin umat ketika umat sering dicatur oleh hegemoni kuasa Barat dan kuasa Timur , dari luar dan juga dari dalam. Kita mesti menyegarkan budaya saling memanfaatkan keupayaan setiap organisasi Islam supaya pengemblengan umat akan menjadi lebih berkesan.
Gerakan Islam sangat berat tanggungjawabnya bilamana upaya pertubuhan-pertubuhan bersifat politik punya kelemahan dan keterbatasan mereka yang tersendiri. Gerakan siyasah punya tempat dan peranannya yang khusus . Sementara ia penting dalam memastikan kuasa politik tidak berpindah tangan kepada gologan yang mempunyai sikap memusuhi Islam , namun gerakan Islam sebagai wadah umat tidak boleh mengambil sikap bersahaja kerana setiap wadah Islam yang bersifat massa akan menjadi daya ketiga yang dapat mengimbangi kebuntuan ketika berlaku konflik antara partai politik.
Hanya gerakan Islam yang siap berperanan untuk mengimbangi percaturan politik sahaja yang boleh membawa nakhoda umat untuk merongkai kemelut yang tidak berkesudahan. Sesungguhnya perhitungan gerakan Islam ialah untuk membawa perubahan kearah mengembalikan izzah umah berdasarkan tuntutan Islam. Tidak ada yang lebih membanggakan gerakan Islam bila melihat tanda perubahan kearah penghayatan Islam secara kaffah dapat direalisasikan. Tidak ada yang akan lebih menggusarkan gerakan Islam jika umat tidak menunjukkan kemahuan untuk kemabli kepada Islam.
Persoalan yang ingin dipecahkan oleh MAPIM ialah untuk memberi fokus kepada isu-isu utama umat dan membina mekanisme bagaimana sebuah jaringan efektif dapat dibina diklangan wadah-wadah Islam untuk menangani isu-isu besar umat. MAPIM berhasrat untuk mengembleng segala keupayaan organisasi Islam agar dapat menyatukan suara dan tindakan ketika membina gagasan Islamisasi menjadi suatu kenyataan dalam kehidupan umat.
MAPIM berpandangan bahawa umat perlu keluar dari sindrom meraba-raba dalam perdebatan yang berpanjangan ketika mencari alternatif. Sementara kita akur ujudnya pembaharuan zaman yang semakin kompleks baik dari segi demografi penduduk dunia mahupun geo-politik rantau dan antarbangsa , kita harus yakin bahawa Islam merupakan satu-satunya jalankeluar yang viable merentas kawasan dan menjangkau zaman. Keruntuhan hampir semua regim dan sistem yang ditampilkan diserata dunia baik dari segi politik , ekonomi mahupun sosial seharusnya meyakinkan kita bahawa “now is the time” ( inilah masanya ) untuk Islam ditampilkan sebagai jalan keluar dari kemelut zaman .
Malangnya , apa yang kelihatan menjadi hambatan umat untuk mencuri kesempatan keemasan ini ialah tercetusnya polemik-polemik dalaman umat yang melelahkan. Sementara silang hujah yang terpaksa diketengahkan ada keabsahannya kerana sememang menjadi agenda para munafiqun dan fasiqun mahu memporak-perandakan umat Islam dari segala penjuru , akan tetapi perlu ada kewarasan dan hikmah yang tinggi agar perangkap musuh tidak akan menyebabkan kita tersasar jauh dari intisari perjuangan kita.
Kami menghargai betapa kemurnian Islam perlu dipertahankan tetapi kita jangan terperangkap dengan agenda musuh. Kita harus sentiasa ingat bahawa selaian asakkan budaya menjadi senjata paling berkesan untuk menyebabkan umat Islam hilang arah , kita juga perlu akur asakkan pemikiran dan dengan itu asakkan tasawur kaum Muslimin akan terus menjadi sasaran.
Bermula dengan menjadikan generasi muda sebagai prime target , medan pendidikan akan menjadi wahana paling efektif untuk mencorakkan aliran pemikiran era pasca penjajahan. Kami tidak terlalu hairan untuk mengenali akan ujud sejumlah organisasi mahupun institusi yang akan berfungsi khusus untuk melancarkan strategi halus yang mahu memporak-peranda
Lantaran itu MAPIM ingin menyegarkan gagasannya untuk melancarkan gerakerja berikut:
1. Mengukuhkan kesatuan Ummat
Bahawa umat yang kukuh bermula dengan kesatuannya dalam mempertahankan Islam. MAPIM berusaha untuk merealisasikan wehdatul ummah dalam ertikata sebenar dan dalam seluruh aspek.Sebarang unsur yang boleh menggugat umat atas dasar selain Islam tidak akan dikompromi. Kami mahu perpaduan ummah menjadi agenda terpenting selaian mengujudkan kondisi untuk membangun ummah sebagai umat yang cemerlang dalam pelbagai bidang. Bahawa kesatuan ummah adalah senjata paling ampuh untuk kita menghadapi fitnah dan mehnah dari dalam mahupun dari luar. Kesatuan umat adalah sasaran utama kita dan ia akan hanya mampu dicapai setelah umat dapat dibina dengan seluruh kekuatan yang dibekal Islam iaitu keutuhan dan kesahihan aqidah , kemurnian dan ketepatan ibadah , kemantapan dalam penghayatan akhlaq serta ketinggian semangat jihad.
2. Merangsang perubahan untuk mengembalikan kegemilangan ummah
Bahawa MAPIM berkerja untuk merealisasikan perubahan yang murni dan tulin untuk kegemilangan ummah.Perubahan yang diharapkan tidak lain dari perubahan untuk merealisaikan terjemahan Islam dalam seluruh aspek kehidupan ummah. Perubahan yang MAPIM akan gerakkan adalah untuk membuktikan bahawa Islam adalah pilihan terbaik untuk memecah kemelut umat yang semakin kusut.Dalam masa yang sama keupayaan umat untuk cemerlang dalam setiap aspek akan diusahakan. Segala kepincangan diklangan umat semada dari sudut ekonomi , sosial , pendidikan mahpun budaya dan politik akan dibentaras. MAPIM merangka model perubahan bukan sahaja diperingkat makro malah akan melahirkan perubahan mikro yang sampai kesetiap pendaerah umat.
3. Mempersiapkan generasi pewaris
MAPIM sangat serius memikirkan generasi pelapis. Tanpa kerangka pembinaan generasi pelapis , gerakan kecemerlangan umat akan terbantut. Lantaran itu sebuah strategi yang jelas untuk mengujudkan kondisi pembentuk generasi muda yang soleh akan menjadi agenda utama. Dalam masa yang sama segala kemungkaran yang menjebak generasi muda akan diperangi habis-habisan.Kami berpendirian bahawa generasi muda semamngnay menjadi sasaran musuh Islam. Lantaran itu MAPIM akan bekerja keras untuk berdepan dengan segala unsur yang merosak generasi muda semada dari segi pemikiran , tingkahlaku mahupun sikap.MAPIM akan mengujudkan sebuah skim pembinaan generasi muda yang cukup mantap sehingga lahir agen-agen penggerak anak muda yang berkesan membentuk mereka disemua lapangan.
4. Menangani hegemoni kuasa Barat
MAPIM tidak akan berkompromi dengan hegemoni Barat yang terus berusha untuk tidak membenarkan Islam berdaulat hatta dinegara umat islam sendiri. Program pendedahan dan pendidikan umat terhadap segala agenda Barat yang mahu mendominasi kehiduapn umat akan ditentang. Umat islam akan dilengkapi dengan maklumat bagi memahami bagaimana barat meneruskan agenda neo-kolonialisme mereka melalui pelbagai medan. Bahawa MAPIM akan terus memberi pandangan dan memantau setiap perjanjian yang dilakukan oleh kerajaan dengan kuasa Barat. MAPIM akan menyedarkan masyarakat terhadap setiap agenda Barat dengan segala implikasi yang datang bersama hubungan Negara Islam dan Barat.
5. Membenteras aliran sekularisasi-liberal
Bahawa MAPIM sangat peka dan perihatin terhadap aliran pemikiran sekular-liberal yang sudah mula menyebar dikalangan umat. Sesuai dengan agenda Barat , golongan sekular-liberal akan meneruskan agenda mengarus-perdanakan pemikiran mencabar keabsahan Islam menurut ulama’ yang mu’tabar. Bermula dengan menyebarkan pemikiran sekular yang memisahkan Islam dari kehidupan umat , diikuti dengan pemikiran plural yang menyamakan Islam dengan agama-agama lain dan diperkukuhkan dengan pemikiran liberal yang mencabar autoriti ahli agama dalam keilmuan islam , golongan ini bergabung tenaga untuk mengelirukan pemikiran umat. Lantaran itu MAPIM akan membina gerakan membentengi umat dari kesesatan pemikiran kelompok ini disamping menyediakan para cendekiawan dan ulama yang mampu berdepan dengan kelompok ini secara langsung. Disamping itu MAPIM akan bergerak untuk mendedahkan golongan ini yang cuba mempengaruhi pemikiran umat dengan pemikiran sesat tersebut dan mendidik masyarakat supaya mampu menyarin pemikiran-pemikiran mereka.
Penutup
MAPIm hanyalah sebuah kenderaan. Yang menjadi persoalan pokok ialah bagaimana kenderaan ini dapat dijadikan wahana untuk memngemudi umat kearah izzatul islam. Semestinya cabaran dan hambatan adalah sangat banyak dan rencam. Namun betapa banyak dan rencam sekalipun ia tidak akan mengurangkan tanggungjawab wadah-wadah Islam untuk meneruskan cita-cita mengembalikan kegemilangan umat. Tergantung ke atas setiap aktivis dan organisasi Islam untuk berfungsi semaksimanya untuk menjayakan cita-cita murni ini.Pra-syarat terpenting tidak lain dari memfokuskan seluruh tenaga untuk menangani kemelut umat dengan berkesan. Adalah menjadi sangat mengecewakan ketika kepincangan akhlaq yang sepatutnya dapat ditangani dengan tuntas namun maseh terus berpanjangan. MAPIM mengharapkan gabungan seluruh kekuatan dapat digembleng dikalangan pertubuhan Islam sehingga kita tidak lagi hanya bersungut dan merintih. Masanya adalah sekarang dan disini.

Perhimpunan Tahunan Teras di Pendang Kedah..

Thursday, December 17, 2009

Pertemuan Tahunan Teras "Demokrasi dan masa depan Umat Melayu"




18 Dis

Berangkat dari dari KL sekitar jam 12 malam tiba di Ipoh jam 3 pg dan berangkat terus ke Alor Setar jam 5 pagi. Solat subuh di tepi sg Perak. Berhenti sebentar di Gurun. Tiba di Pendang sekitar jam 9.45 pg.

Alhamdulillah ramai yang hadir di dewan Pendang Lake Resort.

Ucapan dari Cikgu Azmi:

WAHAI KAUMKU...

Ucapan Bertindak

Perhimpunan Penggerak Melayu Kebangsaan Ke 12

1 Muharram 1431H / 18 hb Disember 2009

oleh

Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden TERAS Pengupayaan Melayu

Dengan rasa penuh bangga dan sangat gembira kami menyambut kehadiran para aktivis penggerak Melayu dengan semangat kehangatan ukhuwwah dan silaturrahim seaqidah . Perhimpunan buat kali ke 12 ini menyegarkan lagi rasa kebersamaan kita untuk saling bertanya khabar dan berkongsi pengalaman , sejauhmana kita telah membawa kesan perubahan untuk kaum yang telah diamanah sebagai pendokong risalah nubuwwah. Perjalanan 12 tahun kewujudan TERAS dipersada bumi Melayu ini , diharap bukan hanya sebagai penambah bilangan sejumlah pertubuhan yang sedia ada, akan tetapi sepatutnya mula berfungsi sebagai pembawa perubahan dan penggerak kebangkitan yang sangat didambakan oleh umat.

Kita sengaja memilih dan mengekalkan tarikh keramat 1 Muharram setiap tahun sebagai tarikh berhimpunnya seluruh penggerak Melayu dalam suatu usaha menyuntik iltizam dan menyegarkan ruh perjuangan kita dengan mengambil semangat dari peristiwa Hijratur Rasul yang membawa segala mesej jihad yang tidak ternilai harganya .

Dalam usaha untuk menjayakan perjuangan mencetus perubahan ini kami tidak akan berputus asa dengan pelbagai isu-isu spontan yang timbul di tanah air ini sehingga dianggap sebahagian teman-teman sebagai penghambat cita-cita besar kita untuk merealisasikan sebuah negara umat Melayu yang berdaulat sebagai negara Islam yang dapat dicontohi diseluruh persada dunia.

Disinilah kekuatan kita teruji. Disaat simpang siur satu demi satu isu yang meledak dalam keadaan kita tidak cukup bersedia inilah mengingatkan kita betapa perjuangan Rasulullah s.a.w sahaja yang dapat meleraikan kekusutan yang muncul.

Ketika Rasulullah s.a.w merasai hampir kecewa dan hilang punca menghadapi karenah kaumnya yang mengambil sikap degil dan tidak mahu menerima kebenaran Al-Quran , Allah merawat hati baginda dengan kisah yang sangat menyentuh sanubari. Lihat seluruh inti dalam Surah Syua’ara yang terserlah pedoman pelbagai senario yang diharungi para Rasul terdahulu. Bukan sahaja Baginda diingatkan bahawa menjadi sangat mudah bagi Allah untuk menundukkan hati kaumnya yang degil , akan tetapi Allah membentangkan seerah para Nabi sebelum Baginda agar diambil ibrah yang besar dalam perjuangan ini. Lalu di ingatkan Baginda bahawa menjadi seorang pencorak zaman dan penggerak reformasi manusia bukanlah suatu perjuangan yang mudah. Walaupun dengan jaminan Allah bersama kaum Muslimin, ia tetap merupakan suatu pergelutan yang sengit kerana hakikatnya pertembungan yang sebenar ialah pertembungan antara haq dan batil.

Kami terpanggil untuk mengambil kesan dari panggilan Allah S.W.T. melalui Nabi-nabiNya lewat beberapa ayat yang khusus menyeru kaum mereka masing-masing:

1.“Katakanlah (Muhammad) “ Wahai kaumku ! berbuatlah menurut kedudukanmu , aku pun berbuat (demikian) , kelak kamu akan mengetahui , siapa yang akan memperolehi tempat terbaik di akhirat nanti. Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan beruntung” -Al An ‘am :135

2.“Dan kepada penduduk Madyan , Kami telah mengutuskan saudara mereka Syuiab , dia berkata “ Wahai kaumku ! sembahlah Allah , harapkanlah pahala hari akhirat , dan jangan kamu berkeliaran dibumi berbuat kerosakan” -Al Ankabut 36

3.“Wahai kaumku ! Sesungguhnya kehidupan didunia hanyalah kesenangan (untuk sementara waktu) , dan sesungguhnya hari akhirat itulah sahaja negeri yang kekal” Ghafir 39

4.“Sungguh , kami benar-benar telah mengutus Nuh kepada kaumnya , lalu dia berkata “ Wahai kaumku , sembahlah Allah tidak ada Tuhan bagimu selain Dia , sesungguhnya aku takut kamu akan ditimpa azab pada hari yang dahsyat (Qiamat) “ Surat Al ‘Araf 59

5.“Dan sesungguhnya , sebelum Harun telah berkata kepada mereka “ Wahai kaumku ! sesunguhnya kamuhanya sekadar diberi cubaan (dengan patung anak sapi) itu dan sesungguh , Tuhanmu ialah (Allah) Yang Maha Pengasih, maka ikutilah aku dan taatilah perintahku” -Toha : 90

Demikian kami melihat betapa kerja menangani nasib kaum sendiri adalah suatu yang sangat berat namun tetap perlu dilaksanakan. Kita boleh mengambil jalan mudah dengan hanya menjadi pemerhati atau paling maksima menjadi pembicara lantang semata-mata. Akan tetapi yang jelas ialah bagi sesiapa yang sensitif dengan kebejatan dan kepincangan kaumnya sendiri pasti akan rasa terpanggil untuk melakukan sesuatu .

Sememangnya kita tidak ada pilihan . Mahu tidak mahu kita pasti perlu mengusahakan agar bangsa kita tidak dibelenggui terus oleh kepincangan yang ada. Seberapa rumit sekalipun , setiap aktivis tidak akan berani untuk menyatakan bahawa mehnah yang dihadapinya adalah jauh lebih berat daripada yang dihadapi oleh Rasullulah s.a.w. dan para Nabi sebelumnya. Lantaran itu penggerak perubahan kaum hendaklah bersiap untuk menghadapi kedegilan dan tantangan bukan sahaja dari kaumnya sendiri malah dari kalangan kerabat yang terdekat sekalipun.

TERAS melihat bahawa setelah pelbagai usaha untuk menyedarkan kaum Melayu mengenai kedudukan mereka dilaksanakan, masih sangat sedikit yang mengambil berat dan masih sangat kecil yang mahu bertindak untuk merubah keadaan. Akan terlihat keadaan mereka yang diistilah oleh Al Quran sebagai berperangai “sawaa ‘an alaihim” iaitu sama sahaja bagi mereka , samada diberi peringatan atau tidak , mereka tidak akan berubah.

Namun tanggungjawab untuk kita melakukan perubahan tidak samasekali akan luput dari tuntutan Allah S.W.T . Kita tetap dipikul beban untuk melakukan islah ke atas masyarakat semada berskala kecil atau besar . Semada di Bandar atau di desa , semada di tingkat lokal atau nasional.

Sungguhpun hambatan yang mendepani kita sangat berat dan rumit akan tetapi kita harus yakin bahawa masih ada harapan untuk kita membuka lembaran baru buat bangsa ini. Hanya senya yang kita perlu sedar ialah proses untuk keluar dari kondisi terkongkong yang telah membelenggu kita oleh sebuah sejarah penjajahan yang sedemikian lama akan menuntut kita untuk mempunyai kekuatan dan stamina rohani , emosi , mental dan fizikal untuk mengharungi perjuangan yang akan mengambil masa yang sangat lama juga.

Bila kita berbicara soal al mustaqbal bangsa Melayu iaitu masa depan yang bakal ditempoh oleh bangsa kita ini , kita tidak akan lepas dari berbicara kondisi bangsa kita masakini. Berbicara soal kondisi masakiniinilah yang paling memerlukan kerahan fikiran , kesungguhan bertindak dan keiltizaman mengatur dan merencana strategi . Kita tidak akan boleh melakar perubahan bangsa jika kita tidak bersedia untuk menyiapkan kondisi yang cukup subur bagi menumbuhkan perubahan . Tapaknya mahu tidak mahu bermula dari sekarang dan bermula disini.

Lantaran itulah para penggerak bangsa ini harus bersedia menjadi pencetus kebangkitan yang murni dalam semua lapangan . Kita tidak boleh bersikap bersahaja dalam perjuangan ini jika kita jujur mahu melihat bangsa ini menjadi teras kepada pendokong kalimah Allah di rantau ini. Langkah kecil harus berkembang menjadi langkah besar , riak kecil harus bergerak menjadi gelombang besar.

Sesungguhnya bangsa Melayu sudah lama berada dipinggiran dan sedang terus meminggir. Bukan sengaja kerana mahu menjadi sedemikian . Akan tetapi bangsa ini seolah-olah sudah melengkapkan dirinya dengan syarat-syarat yang layak untuk menjadi terpinggir.

Masakan tidak , lihat sahaja betapa secara umumnya masyarakat bangsa kita maseh leka dengan gejala berhibur berlebihan, Juga sindrom kebergantungan yang masih sangat ketara ,budaya membaca yang sangat kurang , institusi keluarga yang semakin rapuh , daya keusahawan dan berswadaya yang belum cukup terbudaya , semangat kepenerokaan yang belum meluas , gejala sosial dengan hal-hal yang negatif yang tidak mereda , disiplin dan etos kerja yang tidak mantap .Malah resepi bangsa terpinggir kita melangkap lagi apabila kita dihadapkan dengan realiti ketidakyakinan terhadap keupayaan sendiri.

Sementara begitu banyak agensi formal pemerintah diwujudkan untuk memberi fokus kepada pengukuhan bangsa Melayu , namun tahap peningkatannya masih jauh dari memuaskan.Realiti bangsa menjadi lebih rumit tatkala sikap bersandar kepada bantuan menjadi faktor yang sangat melemahkan. Sindrom berpuas dengan apa yang ada menyebabkan bangsa ini belum mampu menjadi kaum peneraju dalam ertikata sebenar.

Sangat malang , yang mempercepatkan peminggiran ini adalah gara-gara mereka yang memegang teraju kepimpinan dipelbagai peringkat. Pemimpin-pemimpin bangsa secara umumnya belum dibarisi oleh pemimpin-pemimpin yang merdeka dari sindrom mentaliti terjajah. Sebagai natijahnya kelihatan pemimpin-pemimpin bangsa terus menyumbang kepada kelesuan dan sikap bebal yang menjangkiti masyarakat Melayu.

Jika adapun secebis kesedaran untuk benar-benar memperjuangkan nasih bangsa Melayu , yang jelas pemimpin-pemimpin Melayu masih bersifat retorik dengan slogan yang tidak bernilai selain hanya penambah halwa telinga. Bukan tidak ada pemimpin-pemimpin Melayu yang serius dan iltizam dengan kepemimpinan rakyat , namun yang menjadi persoalan sangat pokok ialah menterjemahkan komitmen kepada tindakan rata-rata tidak dimiliki oleh kebanyakan pemimpin-pemimpin Melayu.

Bangsa Melayu sangat memerlukan revolusi kembali kepada Islam bukan sahaja dalam horizon berfikir malah dalam sikap dan budaya tingkahlaku seharian. Penghijrahan yang jelas perlu segera dilakukan ialah untuk mengembalikan Islam hidup dalam setiap saraf , otot , lidah dan pancaindera tubuh insan Melayu seluruhnya. Islam yang hidup dan berdarah-daging dalam kehidupan seharian manusia Melayu itulah yang perlu kembali menghuni ditanah air Melayu ini. Tidak ada formula lain. Kita menyeru bangsa ini dengan bermula dengan Islam , berlafaz dan bertindak dengan Islam dan berdestinasikan perjuangan untuk menegakkan Islam. Ini sahajalah yang bakal menjamin survival bangsa ini.

Memang ada halangan dan hambatan yang akan kita tempuh. Termasuk kemelut politik Melayu yang tidak menunjukkan tanda-tanda mereda.

Sebenarnya politik Melayu yang sering menjadi perbahasan hangat dewasa ini bukan suatu yang terlalu kompleks untuk dileraikan.Pada hakikatnya gara-gara khilaf pemikiran yang menyebar kepada khilaf politik dan menghujung kepada krisis perpaduan adalah justeru bangsa ini gagal menjaga adab dalam berkhilaf.

Bukankah seharusnya kita cekap dalam berstrategi dan bijak dalam bertarung sepatutnya menyebabkan keutuhan kesatuan umat Melayu tidak berserakkan dan dalam masa yang sama benang perselisihan ditarik dengan penuh hikmah.

Kami berpandangan bahawa kerana terlalu galak dalam merebut kuasa dan kedudukan inilah yang menyebabkan tepung kesatuan ummah kini tumpah berselerakkan untuk kemudian dipijak dan disapu bersih oleh seteru yang menunggu peluang menambah-hinakan ummah ini.

Sejak perseteruan dalam politik kita semacam kehilangan perhitungan sehingga adab susila dan aib lawan diheret ke mahkamah , dibicara di media dan akhirnya dibunuh karier politiknya

Tradisi mendahului kesatuan ummah di atas serakah nafsu untuk berkuasa kini terhakis. Politik kembiri hanya kerana merasa terlalu layak untuk menjawat gelaran wakil rakyat telah mengakibatkan politik penting diri dan politik kumpul kekayaan menjadi jangkitan yang semacam tidak terpulih lagi dikalangan bangsa Melayu. Walhasil kelihatan politik Melayu menurun ke darjat politik murahan hanya untuk meni’mati kesedapan sesaat.

Tiada yang dapat diinspirasikan dari watak-watak politik Melayu selain politik saling mencela dan memfitnah sehingga kehilangan adab. Asalkan pesaing dapat di’bunuh’ , sudah cukup untuk dia merasa bahawa survival politiknya akan dapat dipertahankan. Merasa selesa dan berfikir diri sebagai tuan empunya kuasa telah menyesatkan ramai ahli politik.

Namun yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila harga yang terpaksa dibayar akibat amalan politik durjana ini ialah keutuhan umat Melayu itu sendiri terjejas . Bukan sedikit kepentingan bangsa telah tergadai akibat politik sempit pemimpin-pemimpin Melayu yang sangat dangkal dan tidak bermoral.

Siapa yang telah menghakis asset tanah Melayu sehingga penempatan Melayu di kawasan strategik di kawasan Bandar telah hampir pupus , jika tidak orang-orang elit Melayu sendiri , yang hanya melihat keuntungan sebagai pertimbangan yang satu-satunya ingin diraih dengan demikian rakus. Siapa yang telah membunuh tulisan jawi dipersada tanah air ini sehingga tulisan jawi terkubur dengan segala implikasi ilmu yang dideritai umat Melayu sekarang , jika tidak pemimpin-pemimpin Melayu sendiri yang dirasuk arus kemodenan . Siapa yang menyebabkan anak-anak Melayu menjadi generasi sampah dengan kemasukkan budaya jijik yang dilesenkan oleh pemimpin-pemimpin Melayu sendiri. Siapa yang telah memporak-perandakan ekonomi Melayu sehingga berbilion-bilion ringgit yang disalurkan kepada birokrat dan konglomerat Melayu berakhir dengan projek-projek terbengkalai dan wang yang akhirnya masuk ke kocek segelintir Melayu. Siapa yang telah mendirikan pelbagai projek mega mewah sehingga orang Melayu hanya berputih mata melihat kesenangan beberapa kerat Melayu yang akhirnya lupa diri. Siapa yang telah menyalahgunakan kuasa sehingga pelbagai agensi yang telah diswastakan terpaksa diselamatkan bila menanggung kerugian jutaan ringgit , dan matlamat untuk membantu Melayu di kawasan Bandar berkecai, kalau tidak keputusan oleh dua tiga kerat elit Melayu.

Demikian kita menyaksikan kepincangan yang tidak terperi gelagat dan gejala orang-orang Melayu yang seolah-olah tidak terawat lagi.

Sesungguhnya kaum Melayu yang sering menjadi bahan percaturan oleh para elit Melayu telah menyebabkan segala formula memulihkan bangsa ini berhujung dengan kegagalan.

Jika jelas 52 tahun kemerdekaan yang dini’mati oleh orang-orang Melayu hanyalah sebagai “fatamorgana” (dilihat dari jauh seperti bayangan air yang sepatutnya menghilangkan haus namun kosong bila didekati) maka tidak ada jalan lain melainkan merubah seluruh formula yang terbukti gagal.

Kami tidak mungkin dapat menerima betapa akibat kelalaian bangsa Melayu kini bukan sahaja hak bangsa sudah dipersoal malah haknya untuk melaksanakan hukum Allah bagi menyantuni hidupnya sendiri sudah dicabar. Semenjak isu IFC yang berniat untuk menundukkan Islam kepada kehendak dan restu agama lain , sehinggalah kepada gerakan Artikel 11 yang berselindung disebalik Perlembagaan Persekutuan untuk menuntut agar undang-undang murtad dimansuhkan dan kebebasan bertukar agama dikalangan umat Islam dijadikan hak tidak pernah sunyi dari persada bumi yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan.

Demikian dokongan dari golongan elit dikalangan kerabat pemimpin Negara telah memberi laluan atas nama kebebasan bersuara untuk golongan yang mengutarakan pemikiran liberal menyebarkan aliran yang kononnya dianggap progressif.

Kini akibatnya pemimpin-pemimpin turut menafikan autoriti dalam ilmu Islam. Lalu mereka turut terheret dengan keghairahan untuk mempersoalkan pandangan ilmuan Islam tanpa mempunyai disiplin ilmu yang layak.

Sayangnya dalam hal-hal yang dianggap bukan bidang para ulama , pandangan ulama sering diminta untuk mengabsahkan pendapat mereka. Namun dalam hal bidang agama yang mereka tidak punyai latarbelakang dalam keilmuan Islam , dengan mudah pula mereka memberi komen yang tidak menghormati autoriti agama.

Akibatnya apa yang berlaku ialah satu demi satu kes mencabar hukum syariat diheret ke mahkamah sivil oleh golongan yang mendalangi gerakan menyudutkan hukum-hukum Islam hanya dipenjuru soal peribadi semata-mata.

Kes penggunaan Kalimah Allah oleh akhbar Herald , penyebar agama Nasrani , kes sebatan ke atas Kartika berdasarkan enakmen agama Islam Pahang dan kes Redzuan Abdullah dan pengislaman anak-anaknya menjadi perdebatan umum seolah-olah hukum Islam dan mahkamah Syariah sudah hilang wibaya.

TERAS menyeru kaum Melayu untuk bekerja keras kembali kepada paksi kehidupan menyembah Allah seutuh dan semurninya . Dengan paksi ini TERAS ingin mengajak seluruh teman-teman Teras supaya memahami gerakerja berikut:

MEMBENTUK NEGARA BERTAMADUN TINGGI

TERAS berpegang kepada budaya bertamadun tinggi sebagai asas membentuk sebuah jati diri negara. Budaya bertamadun tinggi merujuk kepada tamadun yang terjelma dari nilai keinsanan yang murni menetapi maksud kedudukan insan yang menanggung beban amanah kekhalifahan untuk mengendali kehidupan berkeluarga,bermasyarakat dan bernegara , selaras dengan kehendak Penciptanya. Tanpa usaha untuk mempertahankan nilai keinsanan dan tradisi murni yang menjadi teras kepada kebudayaan kebangsaan dan tanpa keprihatinan mengembangkan budaya tinggi sehingga menjadi darah daging dalam setiap perjalananan dan proses pembangunan negara,maka akan terdedahlah negara dan rakyat kepada krisis dan kepincangan kemanusian yang parah. Negara akan dihuni oleh warga yang rosak nilai dan hilang jati diri sehingga jatuh kegaung tamadun yang rendah dan penuh Zillah.

MEMBELA RAKYAT

TERAS menyeru supaya semua penggerak kaum Melayu membentuk arah tuju dan corak kehidupan seharian masyarakat. Kami mengusulkan agar teman-teman Teras memahami bahawa ketika budaya murni menjadi sesuatu yang abstrak dan tidak mengalir dalam kehidupan praktis masyarakat maka budaya sampah dan budaya imperialisme dan budaya autokratik akan mengambil tempat dan mendominasi kehidupan masyarakat. Setiap teman TERAS seharusnya menjadi benteng yang mengawal rempuhan budaya manipulatif dan budaya menindas. Untuk yang demikian teman-teman perlu cepat mengenal erti kepalsuan , kepura-puraan dan kezaliman. Mereka juga harus segera menangkap kemungkaran yang tersirat dan merasa kegelisahan yang terselindung dalam benak masyarakat. Maka teman-teman seharusnya menyuarakan rintihan masyarakat mustadhafin . Nasib masyarakat terpinggir dan tersisih akan segera menjadi maudhu’ bicara dan luahan rasa paling pertama kepada seorang teman Teras yang merakyat. Jeritan batin rakyat terpuruk itulah menjadi gelanggang bicara seorang Teman Teras yang bertindak untuk membangkit semangat hidup dan semangat memberontak ke atas ketidakadilan.

MEMANDU ARAHTUJU PEMBANGUNAN

Pembangunan sebagai suatu konsep yang diterima umum perlu dihadamkan ertinya secara mendalam dan kritikal. Keghairahan untuk membangun dalam kerangka dan falsafah kebendaan yang sarat dengan nilai komersialisme yang kapitalistik akan memporak perandakan masyarakat. Pembangunan mengikut petunjuk angka-angka seperti KDNK , Indeks Komposit , Nilai matawang , kadar CPI dan inflasi , kemasukan FDI bukan pengukur mutlaq untuk mentarafkan pembangunan sebenar. Pembangunan negara perlu dita’rifkan dalam maksud dan kerangka budaya dan tradisi pembangunan bangsa berteraskan nilai dan falsafah hidup yang betul dan tepat seperti yang teracu dalam ajaran samawi. Teman Teras semestinya beriltizam untuk memastikan pembangunan negara tidak tergelincir dari landasan keimanan ,keinsanan , kebenaran dan keadilan dan akhlaq unggul sehingga peranan setiap warga untuk mencorakkan kemajuan dalam bentuknya yang murni akan diusahakan secara penuh iltizam dan istiqamah.

MENGUSAHAKAN PEMANTAPAN PENGGUNAAN BAHASA MELAYU DALAM SEMUA SEKTOR PEMBANGUNAN.

Bahasa bukan sahaja jiwa bangsa malah ia adalah penta’rif kepada erti dan makna diri. Bangsa yang gersang bahasa akan gersang jiwa dan menjadi bangsa meraba-raba. Bahasa membentuk makna budi dan menyampaikan maksud “li ta’arafu” yakni saling berkenalan dan hidup harmonis berkongsi dan saling menghormati. Bahasa Melayu sebagai bahasa bertamadun tinggi memenuhi ciri sebuah bahasa yang dapat menyampaikan makna diri dan makna bernegara. Lantaran itu Bahasa Melayu semestinyanya diperkasakan dalam semua sektor kehidupan formal mahupun tidak formal.Bahasa yang hidup ialah bahasa yang berinteraksi langsung dengan sumber ilmu yang murni sekaligus mengalir dalam kehidupan sehari-hari. Teman Teras memikul beban ini supaya semua lapisan masyarakat dididik dengan menghidupkan Bahasa Melayu sebagai bahasa yang menjadi arus utama disemua sektor tanpa kecuali. Kekuatan penggunaan Bahasa Melayu sudah pasti bermula dari penggunaannya disemua tingkat dan lapisan kepimpinan negara dengan bersungguh semada pemimpin politik , pemimpim birokrat, pemimpin teknokrat, pemimpin professional, pemimpin intelektual, pemimpin korporat mahupun pemimpin akar umbi.

Jatidiri rakyat hanya akan terpupuk dengan menempatkan kedudukan bahasa pada tempatnya yang tepat lagi benar. Martabat Bahasa Melayu akan mencerminkan jatidiri bangsa. Manakala martabatnya berada di maqam yang rendah maka jatidiri bangsa sekaligus akan mencermin kedudukan yang sama. Lantaran itu adalah menjadi tanggungjawab Teman Teras untuk menjadi penyangga kepada Bahasa Melayu. Tunjang jati diri bangsa adalah pada bahasa yang menggunakan nilai tamadun keinsanan yang tinggi yang berpunca sumber dari makna dan ta’rif keinsanan yang murni . Teman Terasmenjadikan tugas ini sebagai madah kerjanya lantaran mengukuhkan jatidiri bangsa adalah awlawiyyat yang tidak boleh dikesampingkan.

MEMPERJUANGKAN PRINSIP KEBENARAN DAN KEADILAN .

Prinsip kebenaran dan keadilan adalah maudhu’ awla dan perkara dasar yang bersifat usul. Agenda Teman Teras adalah untuk menyerlahkan kedua-dua prinsip ini . Gerakerjanya adalah menjurus kepada pengungkapan prinsip al haq dan al adl. Lantaran kedua-dua prinsip inilah yang paling ternoda dan dirempuh oleh kebejatan dari unsur al batil dan al zulm , maka Teman Teras akan memberi perhatian khusus untuk mendaulatkan kebenaran dan keadilan. Ketika kezaliman berleluasa rakyatlah yang sering menjadi mangsa tatkala prinsip al haqdan al adl dilempar keluar oleh pemimpin-pemimpin serta penguasa bejat yang yang lupa diri. Teman Teras berada di medan rakyat dan tatkala rakyat diperbudakkan oleh golongan mustakbirin , merekalah yang segera bangkit menyuarakan hak rakyat.Teman Teras akan sangat teliti dan mengamati gelagat pemimpin dan para niagawan.Mesej kerakyatan menjadi tema jumhur para Teman Teras kerana sementara para budayawan berada dialam pemikiran penuh abstrak namun Teman Teras-lah yang paling dekat merasai nadi dan benak rakyat.

MENGGERAKKAN DAYA KETAHANAN BUDAYA UNTUK MEREALISASIKAN KEMERDEKAAN DALAM ERTIKATA SEBENAR PADA SETIAP KEHIDUPAN WARGA.

Erti merdeka tidak membawa makna sehingga kemerdekaan budaya tercapai.Sememangnya antara penjajahan militeri atau penjajahan politik dengan penjajahan budaya , penjajahan budayalah yang paling mendalam kesannya. Penjajahan budaya bermula dengan membunuh keyakinan terhadap budaya sendiri. Rasa kagum dan kaget dengan budaya penjajah bertolak dari penjajahan pemikiran lewat skima pendidikan yang dirangka dalam semangat kagum kepada apa yang ada budaya penjajah. Teman Teras mendidik dan mencetuskan rasa yakin dan bangga setiap warga dengan tradisi murni yang dicorak oleh jiwa yang merdeka. Gerakan kebangkitan budaya mencetuskan gerakan kemerdekaan jati diri. Teman Teras mempelopori gerakan kemerdekaan sejati.

MEMBINA ZURIYYAT PELANJUT - MENUMPUKAN PERHATIAN KEPADA PEMBINAAN GENERASI MUDA SEBAGAI PELANJUT PERJUANGAN NUSA DAN PEWARIS BUDAYA BANGSA.

Melaksanakan gerakerja menyelamat kaum hanya bermakna dengan wujudnya kesedaran membina generasi pelanjut. Gagal mendidik generasi pelanjut akan gagal-lah usaha membina tamadun bangsa. Generasi pewaris menentukan kesinambungan. Teman Teras memahami tugas dan tanggungjawabnya adalah untuk melahirkan zuriyyat yang mempunyai kesiapsiagaan. Teman Teras sering mengingatkan amaran agar jangan terjebak dengan kealpaan sehingga meninggalkan zuriyyatan dhi’afa. Lantaran itu tumpuan bersungguh akan diberikan untuk mendekati golongan pewaris bangsa. Gerakerja yang bernuansa kepemudaan sekaligus menanam benih idealisme dalam berfikir serta dinamika aktivisme dalam bertindak diharap akan menyiapkan generasi pelanjut yang bakal berada di saf depan memperjuangkan budaya nusa dan bangsa. Kebejatan budaya berpoya-poya dikalangan generasi muda akan dibendung melalui pendekatan mencegah , mendidik dan merawat . Budayawan akan sentiasa mengingatkan masyarakat dan golongan penguasa agar berwaspada dengan rempuhan budaya yang sedang merosakkan generasi pewaris.

KHATIMAH

Wahai kaumku , tiada imbuhan yang kami harapkan melainkan hanya imbuhan dari Allah Tuhan sekalian alam. Sesungguhnya kami hanya menyeru kamu kepada satu kalimah sahaja iaitu sembahlah Allah dengan sembahan yang sempurna. Bahawa kami menjanjikan bahawa kaum bangsa Melayu ini akan menjadi kaum mulia hanya dengan Islam. Kami menyeru dengan tulus ikhlas bahawa tiada yang lebih baik dari mengembalikan bangsa ini kepada izzah Islam. Dan tiada yang lebih buruk dari mengheret kaum ini kepada selain Islam. Dengan hati penuh ikhlas kami menyeru semua pemimpin-pemimpin Melayu supaya beristiqamah dengan Islam dalam memperjuangkan nasib bangsa. Adalah besar kemurkaan disisi Allah S.W.T. manakala bangsa ini bersifat angkah terhadap kalimah kebenaran yang dijamin Allah untuk mendapat kejayaan dan kemenangan.

Wahai kaumku , bersegeralah bertindak menghapuskan semua kemungkaran yang menghijab bantuan Allah dari bangsa Melayu. Bangkitlah untuk memastikan seluruh fasad dan mungkar tidak lagi menjadi sinonim dengan bangsa kita. Kenalilah betapa generasi masa depan akan tidak punya kekuatan untuk menghadapi cabaran mendatang jika kita tidak segera memerangi keruntuhan akhlaq yang berleluasa dikalangan anak muda bangsa ini.

Kepada Allah kami pasrah dan kepadaNya sahaja kami menundukkan seluruh kehendak kami.

Alallahu Akbar , Allahu Akbar , Allahu Akbar Walillahil Hamd.